KATA-KATA ALUAN

Terima Kasih kerana mengunjungi laman sesawang saya. Nama saya Khushairi Aizad Bin Jamalludin. Nama dipanggil Khushairi @ Ejard @ Aizad.  Berasal dari Lembah Keramat, Kuala Lumpur. Laman sesawang ini menceritakan latar belakang penglibatan saya dalam kepimpinan yang sedang saya terajui. Saya sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di Universiti Kuala Lumpur dan merancang juga untuk sambung di peringkat Doktor Falsafah dalam pengurusan. 

Tujuan laman sesawang ini dibina adalah untuk saya berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang penglibatan dalam kepimpinan badan organisasi. Terus menyokong dan ikuti perkembangan saya di saluran media sosial rasmi Khushairi Aizad Jamalludin.

Saya mula terlibat dalam kepimpinan apabila dilantik sebagai pegawas di SMK Seri Keramat pada tahun 2009. Sejak itu, saya mula pelajari mengurus dan memimpin pelajar sebagai seorang pengawas. Saya dilantik sebagai Exco ketika berada di dalam kepimpinan pengawas dan dalam masa yang sama penglibatan dalam organisasi seperti Kelab Bola Sepak, Persatuan Bulan Sabit Merah, Rumah Sukan Kuning, dan Kelab ICT. 

Minat dalam kepimpinan dapat dipraktikkan dalam program di peringkat sekolah. Tahun 2010, saya telah dilantik sebagai Pengerusi untuk beberapa persatuan di SMK Seri Keramat. Saya aktif dalam kepimpinan dan penglibatan dalam sukan. Saya mewakili pasukan sekolah dalam pertandingan bola sepak, bola baling, dan merentas desa. Dan saya telah mendapat Anugerah Warna Penuh Sekolah dan Anugerah Pengurniaan PIBG.

KELAB BOLA SEPAK AU5'D LEMBAH KERAMAT

Selepas tamat persekolahan, saya mula menyertai badan organisasi bukan kerajaan atau dikenali sebagai NGO. Saya salah satu pengasas bagi penubuhan Akademi Bola Sepak AU5’D Lembah Keramat pada tahun 2013. Bermula sejak itu, saya pelajari pengurusan sebuah kelab bola sepak di peringkat akar umbi dan memimpin jurulatih yang lain. 

Dan dalam masa yang sama juga, pada tahun 2013 saya telah dipilih pasukan Selangor dalam Kejohanan Piala Emas Raja-raja di negeri Perlis.
Pasukan Selangor ketika itu melayakkan diri sehingga peringkat separuh akhir.

KELAB BOLA SEPAK SETIAWANGSA RANGERS

Tahun 2018, saya melebarkan sayap untuk ke peringkat lebih tinggi apabila menubuhkan satu lagi persatuan iaitu Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers. Kelab ini memberi satu pendedahan yang amat baik kepada saya dalam kepimpinan dengan menguruskan pasukan yang mempunyai pemain yang ramai dan menganjurkan program-program yang memberi impak kepada komuniti setempat. Saya berharap saya dapat meneruskan perjuangan saya untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya suatu hari nanti.